INFO KESIHATAN
STRUKTUR JANTUNG
Jantung merupakan kantung berotot yang terdiri daripada dua buah pam yang terletak sebelah menyebelah. Pam ini mengepam darah ke keseluruhan bahagian badan. Denyutan jantungnya yang tetap, mengekalkan aliran darah dalam badan sepanjang masa, tanpa henti sejak seseorang itu dilahirkan hingga mati.

Struktur Jantung
Arteri koronari menghantar bekalan darah ke otot jantung. Arteri koronari kanan menghantar ke kiri dan kanan jantung manakala arteri koronari kiri menghantar ke kiri jantung.
Jantung merupakan organ berotot yang geronggang dan bersaiz lebih besar sedikit daripada genggaman tangan. Jantung terletak sedikit ke sebelah kiri di bahagian tengah dada.
Dinding jantung terdiri dari otot yang mempunyai ciri-ciri pengecutan yang khusus. Jantung dibahagikan kepada 2 bahagian, yang dibahagikan lagi kepada ruang atas dan ruang bawah iatu atrium dan ventrikel. Ruang atas dan ruang bawah dihubungkan oleh injap, yang terbuka dan tertutup semasa denyutan jantung dan menghalang pengaliran darah ke belakang pada waktu antara denyutan jantung. Injap di sebelah kiri mempunyai dua kuspa dan dikenali sebagai injap mitral atau bikuspid. Injap di sebalah kanan pula mempunyai 3 kuspa dan dikenali sebagai injap trikuspid.
Sistem Injap Dalam Jantung
Injap-injap yang dikenali sebagai injap semilunar, memisahkan ventrikel daripada salur darah yang mengangkut darah keluar dari jantung. Injap pulmonari memisahkan ventrikel kanan daripada arteri pulmonari, manakala injap aorta memisahkan ventrikel kiri daripada aorta.
Apabila ventrikel mengecut, injap semilunar membuka, membolehkan darah mengalir ke depan. Apabila injap semilunar menutup, injap trikuspid dan mitral membuka dan membenarkan darah mengalir melaluinya ke dalam ventrikel yang mengendur itu. Penutupan injap jantung yang berlainan inilah yang menghasilkan bunyi ‘lubb dubb’ yang boleh didengar melalui stetoskop.




